
Rentetan daripada tragedi itu saya kehilangan dua batang gigi hadapan, buku lali kiri retak manakala yang kanannya pula terseliuh. Kedua-dua bahu sakit-sakit dan lengan serta lutut kiri saya mengalami luka-luka yang agak serius. Sukar digambarkan bagaimana insiden ini boleh terjadi. Segala-galanya berlaku sepantas kilat. Berikut adalah kronogi bagaimana trip pendakian di Bukit Taboh, Hulu Kelang, berakhir dengan kemalangan yang hampir-hampir sahaja meragut nyawa saya.
Pengembaraan ini bermula pada kira-kira pada pukul 8.30 di satu pagi Sabtu yang agak mendung. Sebelum ini saya pernah menjelajah di sebelah Barat kawasan Bukit Tabur dan kini saya kembali untuk mencuba nasib di sebelah Timurnya pula. Kumpulan kami agak besar juga iaitu merangkumi 14 peserta, 6 wanita dan 8 lelaki. Setelah sebulan berpuasa dan bahang sambutan Aidil Fitri masih lagi terasa, kami semua sudah tidak sabar-sabar lagi untuk pergi mendaki bersama.

Pada awalnya, kami menempuhi laluan bersebelahan batang paip bersaiz besar sebelum melencong ke arah trek mencanak di kawasan hutan yang menghijau. Sementara itu, bahagian lantai hutannya sarat dengan humus, ranting dan daun mati manakala persekitarannya redup bernaungkan pepohon kayu yang menjulang tinggi. Kira-kira setengah jam kemudian, kami berhenti berhampiran tebing curam untuk melihat pemandangan yang begitu sinonim dengan kotaraya Kuala Lumpur, kawasan perumahan samada yang masih dalam pembinaan atau yang telah lama dihuni.

Di samping itu, kerja-kerja menggondol kawasan berbukit sedang giat berjalan. Begitulah senario yang dikatakan menjadi punca utama masalah tanah runtuh di negara ini. Kita pernah dikejutkan dengan tragedi yang berlaku di Highland Tower dan Bukit Antarabangsa yang memakan korban dan harta benda yang bukan sedikit. Khalayak juga pernah gempar dengan fenomena serupa yang meranapkan lebuhraya PLUS berhampiran Gua Tempurong dan beberapa kawasan di sebelah tanah tinggi Cameron.
Selang beberapa minit kemudiaan, kami menyambung perjalanan sebelum berhenti untuk kali kedua. Dari sini jelas kelihatan di seberang sana kawasan menceracak yang membentuk Bukit Tabur Barat. Di samping itu, Empangan Klang Gate turut mendominasi pemandangan. Sudah lebih 50 tahun empangan pertama negara yang diairi Sungai Kelang menabur bakti kepada warga kota sebagai sumber air domestik utama. Persekitaraannya yang agak berkabus dengan pepohon kayu yang subur menghijau memagari birainya yang berkelok-kelok, semuanya indah lagi menyasyikkan.

Namun, hari yang masih redup dengan bayu bertiup lembut, dingin lagi menyegarkan itu tercemar oleh kebingitan jentera-jentera berat yang tidak henti-henti menggondol kawasan yang dahulunya hijau dengan pelbagai tumbuhan. Kini yang tinggal hanyalah kawasan bertingkat-tingkat bertanah kuning menyakitkan pandangan yang menjadi simbol pembangunan dan kemajuan. Mungkinkah ada lagi hari esok untuk Bukit Tabur yang kami terokai hari ini?
Kami kemudiannya angkat kaki meneruskan perjalanan yang belum mencecah destinasinya. Kini, pepohon kayu yang menjulang tinggi tidak lagi kelihatan memayungi kami. Sebaliknya, yang rendang-rendang persis bonsai bernilai tinggi tumbuh di sana-sini sebagai ganti. Flora renek turut hidup bertompok-tompok dan jarang-jarang di alam tanah tinggi yang turut dilatari batu dan pasir.

Di kawasan tanah tinggi ini, lapisan tanah atas yang menjamin kehidupan dan keseimbangan ekologi hutan dek kesuburannya yang tinggi telah lama menghilang. Sebagai alternatif, hanya permukaan yang hampir-hampir usang menampung kemandirian sejumlah kecil spesis flora. Walaubagaimana pun, tumbuhan tersebut masih mampu melatari hijau landskap semulajadinya sehinggakan kami teruja dek keindahannya yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Ada ketikanya kami berhenti seketika bagi menjana tenaga. Kami berhenti untuk makan dan minum sambil duduk-duduk menikmati pemandangan dari puncak yang tinggi. Dari poin inilah, pemandangan natural masih boleh dinikmati oleh wargakota yang sering dibelenggu ketegangan dek pencemaran yang pelbagai. Baik pemadangannya yang menjengkelkan daripada sampah-sarap yang tak terurus, baik kebisingannya dari kenderaan bermotor serta udaranya yang sentiasa tercemar dek debu dan asap. Segala-galanya menjadi punca stres yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun.

Bukit Tabur yang kami jelajahi ini secara dominannya terbina daripada formasi batu kuarza yang mengunjur hanya sepanjang 16 kilometer berbanding dengan Tembok Besar Cina yang panjangnya mencecah 36,000 kilometer! Walau bagaimanapun, formasi banjaran bukit yang mendominasi Kuala Lumpur ini dianggap sebagai rabung kuarza terpanjang dunia. Sifat piezoelektrik kuarza menjamin kejituan jam yang menjadi antara rekaan terpenting dalam sejarah. Mungkin pihak berwajib wajar menjadikan kawasan ini sebagai kawasan yang dilindungi memandangkan ianya popular di kalangan pendaki.
Kira-kira sejam setengah selepas melewati kawasan berbatu tajam lagi mencanak yang kiri kanannya juga berjurang dengan kedalaman puluhan meter, kami berhenti di atas sebuah bukit. Kami berhadapan dengan satu lagi bukit yang lebih tinggi dan berbentuk runcing. Isteri saya, Along dan Ilah mebuat keputusan untuk berhenti setakat itu sahaja sementara yang lainnya, termasuk saya, meneruskan pengembaraan.

Pendakian menggapai poin itu merupakan yang paling sukar dan paling merbahaya di sepanjang perjalanan ini. Hati berbaur antara ketakutan dan keterajuan, antara kebimbangan dan keseronokan. Sememangnya memompa adrenalin dan kami mengambil masa kira-kira 15 minit dari hentian terakhir untuk menggapai puncaknya yang curam itu. Saya difahamkan poin itu berketinggian 350 meter dari aras laut.
Berdiri di hadapan kami terdapat formasi bukit yang bentuknya hampir-hampir serupa. Namun dek kekangan masa dan keadaannya yang lebih curam lagi membahayakan, kami tidak meneruskan pendakian ke sebelah situ. Berdasarkan statistik, kejadian pendaki yang terjatuh di kawasan Bukit Tabur pernah dilaporkan. Tahun ini sahaja, dua orang doktor pakar kanak-kanak, masing-masing bertugas di hospital swasta berhampiran, telah menemui ajal selepas terjatuh. Di samping itu, turut menjadi mangsa adalah seorang pelajar lelaki kolej swasta. Pendaki itu patah kaki dan mengalami kecederaan teruk di muka setelah tergelingir ketika menuruni tebing curam dan berbatu.

Kami hanya duduk-duduk sebentar di situ sambil berbual-bual dan merakamkan kawasan tanah tinggi itu melalui lensa kamera yang dibawa. Kami seterusnya menuruni tebing curamnya yang bercerun hampir 90 darjah. Kami menggunakan kekuatan tangan dan kaki untuk turun. Hati berdebar-debar menyaksikan debu berterbangan dan batu-batu bergolek ke bawah dan hilang ditelan jurang yang dalam. Episod itu sudah cukup membayangkan betapa sukar dan bahayanya perjalanan ini yang kini hampir menjangkau ke tengahari.
Denai tanah tinggi yang berbatu tajam dan berpasir ini kembali kami jejaki untuk jalan pulang tatkala mentari terik mula memancarkan cahayanya. Kawasan terdedah dan bahang ini beransur-ansur kami tinggalkan sebaik sahaja kawasan hutan yang redup menjelma kembali. Saya berjalan berseorangan meniti denai tanah hitam manakala isteri dan rakan lain memilih trek bersebelahan yang berbatu.

Tindakan itu rupa-rupanya merupakan satu kesilapan yang besar. Tau-tau sahaja saya terjatuh dengan kepala ke bawah kaki ke atas. Dalam keadaan kritikal hati tertanya-tanya mengapa saya lambat ‘mendarat’ di atas tanah. Dalam keadaan mencemaskan itu tubuh ini tiba-tiba terpelanting dan beberapa kali terhempas. Sedar-sedar saya sudah terlentang di atas tanah dengan kepala berpinar-pinar. Dada begitu sebak sehingga sukar menarik nafas dan kedua-dua belah bergelangan kaki saya terasa begitu sakit.
Mat Som, Jimmy dan Abod duduk mengelilingi saya. Begitu juga isteri, Zul dan Along. Masing-masing sangat bimbang kerana menurut mereka, saya terjatuh dari cerun setegak 90 darjah dengan ketinggian kira-kira lapan meter. Saya cuba bangkit tetapi usaha itu sia-sia. Kedua-dua kaki yang sebelum ini gagah melangkah kini lemah longlai sehinggakan tidak lagi mampu menampung berat saya yang hampir 70 kilogram ini.
Darah merah juga mengalir dari bibir yang bengkak dan dagu yang sakit. Dua batang gigi hadapan saya juga tidak berada di tempat yang sepatutnya. Mungkin terhantuk ketika jatuh. Walaupun demikian, ketika dibelenggu trauma dan kesakitan, saya sempat memeriksa kamera yang hanya digantung di leher. Ternyata pelik tetapi benar. Kamera Nikon D90 itu tidak rosak walau sedikit pun!

Setengah jam selepas terjatuh, enam rakan-rakan membawa saya keluar dengan pengusung yang diperbuat daripada dua batang kayu berdiameter tiga inci, sehelai kain pelikat dan dua helai kemeja-t. Proses yang memaksa rakan–rakan berhadapan dengan saki-baki laluan bercerun curam itu sememangnya sukar tetapi Alhamdulillah, semangat sepasukan mengatasi segala-galanya. Hamdan, Along, Hafiz, Jimmy, Abod dan Zul mengambil masa hampir setengah jam untuk mengusung saya dengan selamat ke kawasan parkir.
Saya kemudiannya dikejarkan ke Hospital Serdang oleh Mat Som dan isteri saya. Hampir keseluruhan tubuh di-x-ray termasuk pengimbasan 360 darjah ke atas tulang muka dan kepala. Kakitangan hospital akhirnya menyimen kaki kiri saya yang patah selepas doktor mencabut dua batang gigi. Pakar perubatan yang lain turut membuat pemeriksaan untuk mengetahui tahap kecederaan pada tubuh saya yang benar-benar keletihan.
Saya kemudiannya dihantar pulang selepas beberapa jam berada di unit kecemasan hospital berkenaan. Pengalaman ini mungkin pahit untuk ditelan namun saya bersyukur kerana kecederaan saya mungkin sedikit jika diukur dengan lokasi dan karakter tempat berlakunya kemalangan. Saya bernasib baik kerana mempunyai rakan-rakan pendaki yang begitu prihatin untuk memastikan saya mendapat rawatan perubatan yang pantas lagi tuntas. Insiden ini mungkin menghalang saya daripada terus menjelajah hutan dan tanah tinggi buat sementara, tetapi jika diizinkan Tuhan, saya akan kembali lagi selepas pulih nanti.